Foto: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ)

KOTA TINGGI – Dua pendaki sesat lebih enam jam di Gunung Panti, di sini, sebelum ditemukan selamat di kawasan hutan simpan itu malam tadi.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Datuk Salim Aman berkata, lelaki dan wanita tempatan berusia lingkungan awal 20-an itu, tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Beliau berkata laporan telah dibuat sendiri oleh mangsa menerusi telefon kepada Balai Polis Batu Ampat kira-kira pukul 6.50 petang yang memaklumkan bahawa mereka tersesat dan terkeluar daripada trek pendakian.

“Seramai 25 anggota pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) terdiri daripada JPNJ, Balai Polis Batu Ampat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi serta Malim Gunung Perhutanan (MGP) terlibat dalam usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa katanya berjaya ditemukan pada 10.20 malam dan dibawa keluar menggunakan kenderaan polis serta kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.

Salim berkata, mereka tidak mempunyai dokumen permit memasuki hutan simpan serta tanpa kawalan jurupandu atau MGP.

“Kita akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa Permit.

“Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai yang berhasrat untuk masuk hutan atau mendaki agar mematuhi larangan penutupan trek pendakian pada musim tengkujuh ini atas faktor keselamatan diri dan ketenteraman awam,” katanya.

Pada 28 November lepas, JPNJ telah mengumumkan penutupan trek pendakian Gunung Panti bermula 1 Disember ini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast