PETALING JAYA – Memasuki hari kesebelas selepas pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, polis masih berusaha mencari bukti baharu di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi mendapati beberapa anggota polis pada 11.55 pagi tadi naik ke Blok R di kediaman kanak-kanak berkenaan.

Beberapa lagi anggota dilihat menuju ke belakang blok tersebut.

Difahamkan siasatan akan bersambung 3 petang ini.

Jumaat lalu dilaporkan dua saksi kanak-kanak masing-masing berusia enam dan sembilan tahun melakukan lakonan semula di kawasan blok R berkenaan bagi membantu siasatan kes bunuh itu.

Ini kerana kedua-dua kanak-kanak tersebut yang juga rakan mangsa melihat Zayn Rayyan sebelum dia hilang pada 5 Disember lalu.

Lakonan semula itu dibuat bermula dari anak tangga Blok R hingga menuju ke anak sungai lokasi mayat mangsa ditemui, bagi mengesan jika ada bukti baharu yang boleh membantu siasatan kes.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan baru-baru ini berkata, setakat ini pihaknya sudah mengambil 172 keterangan membabitkan penduduk sekitar.-MalaysiaGazette