KUALA LUMPUR – “Eh..dah dijadikan Aerotrain KLIA pula sebagai sebab mengapa MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) perlu kepada rakan pelabur asing!
“Teruk betul ke kemampuan negara hari ini?,” kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menerusi akaun Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memberitahu Global Infrastructure Partners (GIP) berupaya menggantikan aerotrain penumpang di Lapangan Terbang Gatwick hanya dalam tempoh 10 bulan.
Dalam kenyataan di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan 2 itu berkata, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melaksanakan proses yang terperinci dan komprehensif dalam memilih rakan kongsi teknikal yang seiring dengan matlamat untuk mengubah dan meningkatkan kecekapan lapangan terbang negara.
Beliau yakin kepakaran, kejayaan dan pengalaman GIP dalam mengoptimumkan tahap kecekapan di lapangan terbang adalah yang diperlukan bagi meningkatkan daya saing serta kecekapan lapangan terbang negara.
Mengambil contoh, Amir Hamzah berkata, GIP berjaya meningkatkan jumlah laluan penerbangan di Lapangan Terbang Edinburgh daripada 141 kepada 225 manakala bilangan penumpang juga meningkat daripada 9.2 juta pada 2012 kepada 14.4 juta pada 2023.
GIP juga menggantikan aerotrain penumpang di Lapangan Terbang Gatwick hanya dalam tempoh 10 bulan, katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil kira keperluan mendesak untuk melaksanakan pembaharuan di MAHB menerusi Konsortium yang diwujudkan dengan diterajui oleh Khazanah dan KWSP melibatkan langkah pengambilalihan pegangan majoriti 70 peratus dalam MAHB dan baki 30 peratus pula oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority.
“Dengan tertubuhnya Konsortium ini, pembaharuan kepada lapangan terbang negara dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera,” kata Amir Hamzah.
Isu penjualan saham MAHB kepada GIP menjadi isu dan persoalan kerana ia adalah dana pelaburan swasta Amerika Syarikat (AS) yang dikuasai oleh BlackRock.
BlackRock adalah syarikat pelaburan multinasional AS, juga dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock, yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.
Oleh itu, tindakan kerajaan menjual pegangan MAHB kepada syarikat berkenaan dilihat langkah kurang bijak dan bertentangan dengan proklamasi kerajaan yang secara terbuka dan lantang menyokong Palestin.
Selain BlackRock menyokong zionis Israel, penjualan saham MAHB itu menjadi persoalan pengendali lapangan terbang itu adalah aset strategik negara.
Pada 15 Mei lalu, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham dalam MAHB yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.
Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan GIP – menerusi GIP Aurea Pte Ltd. – MalaysiaGazette