pps

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk dengan pertambahan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak juga meningkat pagi ini.

Di TERENGGANU, 2,693 mangsa daripada 654 keluarga dipindahkan ke 37 PPS di enam daerah setakat 9 pagi berbanding 2,622 orang daripada 637 keluarga di 36 PPS pada 8 malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu (JPBNT), daerah Dungun paling terjejas dengan 1,687 mangsa daripada 418 keluarga berlindung di 14 PPS, diikuti Hulu Terengganu dengan 282 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

Di Kemaman, 131 mangsa daripada 32 keluarga dipindahkan ke tiga PPS, di Setiu 336 mangsa daripada 94 keluarga berada di lapan PPS dan Marang merekodkan 249 mangsa daripada 44 keluarga berlindung di empat PPS, manakala di Besut hanya lapan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Kampung Kelat.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di lima stesen utama negeri itu iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu; Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang serta Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman telah melepasi tahap waspada.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 4,114 orang daripada 1,282 keluarga setakat 9 pagi ini berbanding 3,780 orang daripada 1,170 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mangsa dari Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas sedang berlindung di 16 PPS di tiga jajahan itu.

Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan kesemua mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, SK Sri Rantau Panjang (2), SK Gual To’Deh, SK Kampung Rahmat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, SMK Baroh Pial, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang, SMK (A) Lati dan SK Lati.

Di Tanah Merah, mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Padang Kijang, SK Kulim dan Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang, manakala di Kuala Krai mangsa banjir berada di Pejabat Veterinar dan SK Banggol Guchil.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM mangsa banjir di negeri itu juga bertambah daripada 49 orang melibatkan 19 keluarga malam tadi kepada 69 mangsa membabitkan 23 keluarga setakat 9 pagi ini.

Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa di Klang menjadi PPS terbaharu dibuka semalam dengan dua lagi PPS sedia ada beroperasi menempatkan mangsa banjir di Kuala Selangor iaitu SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang di Kuala Selangor.

Portal publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang ketika ini berada di tahap bahaya dengan bacaan 4.29 meter setakat 8.30 pagi.

Di PERAK, 80 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan setakat pagi ini berbanding 30 mangsa daripada tujuh keluarga malam tadi apabila beberapa kawasan di Changkat Jong dinaiki air berikutan hujan lebat semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memaklumkan penduduk terjejas ialah di kawasan Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8 dan Lorong Imam Khairi. – Bernama