Poster 'Justice for Muhammad Zaharif Affendi' yang ditampal di zink penghadang kawasan pembinaan mahkamah lama Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pegawai kanan polis yang melanggar mati seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh Perak akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan esok.

Peguam Negara dalam satu kenyataan malam ini berkata, pendakwaan itu susulan hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam Kertas Siasatan.

Katanya, terdapat keterangan mencukupi bagi satu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.

Justeru, beliau berkata, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret, Ipoh esok.

“Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya.

Pada 15 Disember lalu  pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut dalam kemalangan di Taman Jati, Ipoh selepas terlibat dalam kemalangan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, penunggang motosikal seorang remaja berusia 17 tahun didapati meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: