Gambar kenderaan yang dikehendaki.

KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai terlibat berhubung kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Sungai Besi berhampiran Menara PGRM di sini semalam diminta tampil membantu siasatan polis.

Pemandu berkenaan dikehendaki tampil ke Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur (KL) di Jalan Tun H.S. Lee, kata polis dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Ketua JSPT KL, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan yang juga melibatkan motosikal itu supaya tampil ke balai berhampiran.

Orang ramai yang menyaksikan dan mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kemalangan di atas pohon menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Mohd Salehuddin Fitri Wan Hassan di talian 019-3970048, Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03- 2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ketika kemalangan pada lebih kurang pukul 7.30 malam semalam, motosikal yang ditunggangi oleh lelaki berusia 46 tahun bersama pembonceng yang juga isterinya menghala ke Pandan Indah.

Akibat kejadian, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya pula kini berada di zon merah HCTM, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut Sarifudin, kes tersebut diklasifiasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette