Keadaan sebuah motosikal yang dipercayai sedang diubah suai untuk kegunaan lumba haram.

KUALA LUMPUR – Polis telah menyita sebanyak 82 motosikal ‘lajak’ tanpa brek belakang dalam operasi samseng jalan dan lumba haram di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam tangkapan itu pihaknya mengesan trend baharu lumba haram oleh remaja yang menanggalkan brek belakang motosikal.

“Minggu lepas kita laksanakan Op Samseng Jalanan, kita ada kesan trend baharu iaitu remaja berlumba menanggalkan brek belakang motosikal seperti basikal lajak yang ditanggalkan brek depan dan belakang.

“Dengan ketiadaan brek belakang di motosikal, risiko terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan maut amat tinggi sekali,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memainkan peranan dalam menangani masalah tersebut.

“Saya berharap ibu bapa penjaga mainlah peranan, ini bukan tanggungjawab polis semata-mata.

“Motosikal ‘lajak’ ini datang dari rumah, ibu bapa perlu memastikan motosikal itu ada lesen dan dalam keadaan sempurna supaya anaknya dapat balik ke rumah dengan selamat,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette