Isma Aliff

KUALA LUMPUR – Pelakon, pelawak dan penyanyi popular 1980-an, Isma Aliff kini menerima rawatan di Hospital Ampang sejak semalam selepas mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.

Beliau kini dipakai alat bantuan pernafasan.

Sejak semalam berita mengenai keadaan Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, 59, dikongsi oleh rakan-rakan artisnya termasuk Ebby Saiful Ali.

Isma salah seorang pelakon filem Marah-Marah Sayang itu sudah berada di hospital sejak minggu lepas kerana mendapat serangan angin ahmar.

Difahamkan, Isma tidak lagi aktif dalam aktiviti seni sejak beberapa tahun lalu kerana menjaga ibunya yang uzur di Kampung Melayu Ampang.

Untuk rekod, Isma Aliff pernah membintangi filem seperti Jaket Biru dan Sayang Ibu.

Selain itu, beliau juga aktif dalam drama dan pernah berlakon di bawah arahan Aziz M Osman pada tahun 2000 menerusi drama Romeo.

Isma Aliff juga pernah menghasilkan empat buah album sendiri iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada. – MalaysiaGazette