JPJ sita Honda Jazz yang dipandu warga asing di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan sebuah syarikat kereta terpakai menggajikan warga asing sebagai pemandu untuk menghantar kereta kepada penyewa mengundang padah selepas kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sini hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, lelaki berusia 31 tahun yang juga Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT).

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas pemandu Honda Jazz itu mendapati dia merupakan penghantar kereta sewa kepada pelanggan di terminal kapal tersebut.

“Semakan lanjut mendapati lelaki itu merupakan pekerja kepada sebuah syarikat kereta terpakai yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa.

“Selain itu, pemandu warga asing itu juga didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta menjalankan perkhidmatan awam tanpa permit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shahrul Azhar, pihaknya mengeluarkan saman kepada lelaki warga asing itu serta pemilik kereta selain menyita kenderaan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette