Tangkap layar menunjukkan suspek menyerang mangsa menggunakan parang secara bertubi-tubi.

GEORGE TOWN – Lelaki yang menetak ibu saudaranya sehingga mati dalam kejadian di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda, Butterworth tiga hari lalu akan didakwa hari ini.

Prosiding kes itu akan berlangsung di Hospital Pulau Pinang di sini susulan suspek berusia 29 tahun itu masih menerima rawatan akibat kecederaan di kaki.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek yang patah kaki itu baru saja selesai menjalani pembedahan semalam dan memerlukan pemantauan daripada pegawai perubatan.

Pasukan pendakwa dari Mahkamah Majistret Butterworth dijangka menjalankan pendakwaan terhadap pekerja kilang itu tengah hari ini.

Artikel berkaitan:Wanita maut ditetak dipercayai kerana cemburu

Wanita maut ditetak merupakan ibu saudara suspek

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan wanita yang maut ditetak dengan parang di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda di sini, merupakan ibu saudara kepada suspek.

Difahamkan, suspek menyimpan perasaan terhadap mangsa yang sudah berumahtangga itu.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi, penjual pakaian berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta terbaring atas jalan sebelum orang awam memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Manakala suspek pula dikatakan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah tersebut namun berjaya diselamatkan nelayan. – MalaysiaGazette