Tangkap layar menunjukkan suspek menyerang mangsa menggunakan parang secara bertubi-tubi.

BUTTERWORTH – Wanita yang maut ditetak dengan parang di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda di sini, semalam merupakan ibu saudara kepada suspek.

Difahamkan, suspek menyimpan perasaan terhadap mangsa yang sudah berumahtangga itu dan cemburu disyaki motif pembunuhan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, siasatan berhubung kejadian tersebut masih dijalankan susulan suspek berusia 29 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital.

“Kita telah dapatkan perintah reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini dan permohonan itu dilakukan di HPP.

“Kita belum rakam keterangan suspek susulan dia berada dalam pengawasan pihak hospital namun keadaannya stabil.

“Semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut berhubung dakwaan suspek mempunyai masalah mental, Mohd Asri berkata, siasatan ke arah itu akan dilakukan namun pengesahan hanya boleh dibuat oleh pakar bidang tersebut.

Mohd Asri.

“Kita akan siasat dari semua sudut dan sekiranya perlu pemeriksaan psikiatri juga akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat sah berhubung kesihatan mental suspek.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup berkaitan pembunuhan itu yang mana suspek dilihat datang dari arah belakang mangsa dan bertindak menetaknya bertubi-tubi.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 15 saat itu, suspek yang memakai pelitup muka mengeluarkan parang dalam beg berwarna merah sebelum menyerang mangsa yang ketika itu dilihat sedang berjalan bersama seorang wanita.

Hanya mangsa diserang manakala wanita yang menemaninya itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

ARTIKEL BERKIATAN

Wanita maut ditetak dipercayai kerana cemburu

MalaysiaGazette semalam melaporkan, cemburu disyaki motif seorang wanita maut ditetak di bahagian belakang leher dan bahu kiri hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda di sini.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi, penjual pakaian berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta terbaring atas jalan sebelum orang awam memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Manakala suspek pula dikatakan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah tersebut namun berjaya diselamatkan nelayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast