Siti Zulaikha (dua dari kanan) hadir ke Hospital Pulau Pinang kes pendakwaan lelaki bunuh ibu saudaranya di Butterworth pada Selasa lalu.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki didakwa hari ini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya dengan menetak menggunakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah premis di Jalan Taman Sin Tat, Butterworth, Selasa lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Ong Kok Bu, 29, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Prosiding kes itu dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, berikutan Kok Bu sedang menerima rawatan di hospital berkenaan akibat patah kaki kiri.

Pendakwaan kes dilakukan di Hospital Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa membunuh Lee Yen Suan, 42, di hadapan sebuah premis di Jalan Taman Sin Tat, Butterworth, pada jam 10.55 pagi.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 25 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Terdahulu, Siti Zulaikha tiba di pekarangan Hospital Pulau Pinang pada jam 12.40 tengah hari.

Nurameera (kanan) hadir dengan diiringi Nasrina.

Hadir sama, Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Nasrina Darus.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki diselamatkan nelayan suspek kes bunuh

Wanita maut ditetak merupakan ibu saudara suspek

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan wanita yang maut ditetak dengan parang di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda di sini, merupakan ibu saudara kepada suspek.

Difahamkan, suspek menyimpan perasaan terhadap mangsa yang sudah berumahtangga itu.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi, penjual pakaian berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta terbaring atas jalan sebelum orang awam memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Suspek pula dikatakan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah tersebut namun berjaya diselamatkan nelayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast