Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dua buah restoran – The Atmosphere 360 & Café 360, di Menara KL  tidak dibenar beroperasi kerana ia di bawah pengawasan dan kawalan Mahkamah Tinggi.

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), bailif Mahkamah Tinggi telah datang ke Menara KL semalam untuk melaksanakan kedua-dua Writ Pemilikan dan Writ Penyitaan dan Penjualan terhadap Asian Kitchen (M) Sdn Bhd (AKSB) kerana mengingkari, mengabaikan atau gagal untuk mematuhinya untuk melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi.

AKSB adalah pengendali kedua-dua premis berkenaan sehingga kini.

Dalam kenyataannya, MKLSB berkata, perjanjian penyewaan yang dimeterai antara MKLSB dan AKSB untuk menggunakan premis di Menara KL bagi mengendalikan Atmosphere 360 dan Café 360 telah tamat tempoh pada 31 Disember 2022.

MKLSB pada 10 November 2022 telah memaklumkan kepada AKSB bahawa penyewaan tidak akan diperbaharui selepas tamat tempoh perjanjian penyewaan pada 31 Disember 2022.

Namun, AKSB merayu dan berbincang dengan MKLSB mengenai pelanjutan
penyewaan, yang mana pihak MKLSB bersetuju untuk membenarkan AKSB menjalankan perniagaannya sehingga 30 Jun 2023.

Jelasnya, AKSB menyedari sepenuhnya tempoh tamat penyewaan pada 30 Jun 2023, dan ia mesti keluar dari premis berkenaan kerana tiada lagi sambungan atau pembaharuan sewa.

Tetapi, pada 9 Jun 2023, AKSB memulakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
terhadap MKLSB dan meminta injunksi terhadap MKLSB untuk menghalang daripada menguatkuasakan haknya sebagai tuan tanah untuk mendapatkan pemilikan premisnya  selepas tamat tempoh penyewaan pada 30 Jun 2023.

“Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi AKSB pada 27 Jun 2023. Setelah tamat tempoh penyewaan, MKLSB telah memaklumkan dan meminta menyerahkan pemilikan premis kepada AKSB melalui notis, surat dan/atau memo tetapi malangnya tidak berjaya dan AKSB telah memegang premis itu secara tidak sah sejak 1 Julai 2023.

“MKLSB kemudiannya memohon penghakiman ringkas di Mahkamah Tinggi supaya AKSB mengosongkan premis berdasarkan perintah mahkamah pada 4 September 2023 yang memihak kepada MKLSB di mana mahkamah memutuskan penyewaan tamat tempoh pada 30 Jun 2023.

“AKSB diarah menyerahkan premis itu kepada MKLSB. AKSB juga diarah membayar sewa dua kali kepada MKLSB bermula dari 1 Julai 2023 sehingga tarikh AKSB menyerahkan pemilikan kosong premis,” kata MKLSB.

AKSB kemudian memfailkan Penangguhan Pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi, tetapi  telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 November 2023.

Sementara itu, MKLSB terus memaklum dan meminta AKSB mematuhi perintah mahkamah untuk menyerahkan premis tersebut dengan bayaran yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi kepada MKLSB, namun sekali lagi tidak berjaya.

“Disebabkan oleh AKSB berterusan tidak patuh terhadap arahan mahkamah, maka MKLSB tiada pilihan untuk meminta Mahkamah Tinggi melaksanakan perintah.

“Pada 23 November 2023, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada MKLSB untuk mengeluarkan Writ Pemilikan untuk mendapatkan kembali premisnya daripada AKSB,” ujarnya.

MKLSB berkata, AKSB telah beroperasi secara haram dan ingkar perintah mahkamah dan tidak membayar sebarang sewa kepada MKLSB dari Julai 2023 sehingga hari ini.

Meskipun begitu, katanya, MKLSB tidak sekali pun mengganggu operasi dan pengurusan Atmosphere 360 dan Café 360.

Bahkan, semua langkah yang diambil oleh MKLSB dalam menyelesaikan perkara di atas
isu penyewaan dengan AKSB adalah mematuhi undang-undang dan prosedur Malaysia.

MKLSB berkata, susulan tindakan itu, restoran berputar di Menara KL itu akan ditutup buat sementara waktu untuk naik taraf menyeluruh.

Ujarnya, MKLSB amat kesal kerana kejadian semalam yang telah menyebabkan
ketidakselesaan dan kekecewaan untuk pelawat dari Malaysia dan seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, seluruh Menara KL beroperasi seperti biasa. – MalaysiaGazette ​