KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu termasuk tiga beradik bagi membantu siasatan kes bunuh lelaki yang mayatnya ditemui ditanam dalam belukar belakang kawasan kediaman dekat Kampung Sungai Choh, Rawang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Ariffin Mohamad Nasir berkata, semua yang ditahan merupakan tiga lelaki dan dua perempuan berusia 19 hingga 45 tahun.
“Tangkapan dibuat di tiga lokasi yang berbeza. Tiga tangkapan seorang lelaki dan dua perempuan dibuat di Apartmen Desa Aman Puri pada jam 4.40 petang semalam.
“Seorang lelaki pada 8.15 petang di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam. dan seorang lagi pada jam 11 malam di Sungai Choh,” katanya.
Jelasnya, kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari.
Kes pembunuhan terbongkar apabila polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang berjiran dengan keluarga suspek yang juga keluarga iparnya pada jam 11.25 malam tadi.
Wanita itu mendakwa terdengar bunyi pergaduhan di antara dua beradik di rumah berkenaan kira-kira jam 11 pagi.
Pertelingkahan di antara mereka bertukar kepada pergelutan hingga menyebabkan kematian.
Bimbang dengan kematian yang menimpa saudaranya suspek cuba menyembunyikan pembunuhan itu dengan menanam mayat mangsa di belakang rumah.
Mayat mangsa ditemukan dan dikeluarkan pihak polis dari laman belakang rumah kira-kira jam 5 pagi semalam.
Mengulas lanjut Ariffin berkata, bedah siasat mendapati terdapat kesan cedera luka dan lebam di kepala dan seluruh badan mangsa.
“Punca kematian belum disahkan sementara menunggu ujian makmal,” katanya. – MalaysiaGazette