Keadaan di beberapa kawasan di dalam kawasan bebas cukai yang mula dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok ekoran hujan lebat sejak semalam ketika tinjauan di Jalan Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang, Pasir Mas.

KOTA BHARU – Empat sungai di tiga jajahan Kelantan melepasi paras bahaya setakat 6 petang berikutan hujan berterusan sejak Jumaat.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, di Kuala Krai, Sungai Kelantan merekodkan bacaan 25.96 meter (m) melebihi paras bahaya 25m, manakala Sungai Nal mencatatkan bacaan 27.57m melebihi paras bahaya 25m.

Di Tanah Merah, Sungai Golok di Kampung Jenob merekodkan bacaan 25.17m melebihi paras bahaya 23.50m.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 10.79m melebihi paras bahaya 9m.

Selain itu lima sungai turut merekodkan bacaan melepasi paras amaran.

Sungai terbabit ialah Sungai Galas di Chegar Lapan, Kuala Krai (36.89m), Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29.19m), Empangan Bukit Kwong, Pasir Mas (17.53m), Jambatan Melor di Bachok (8.15m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (2.38m). – Bernama