Anggota bomba di lokasi kejadian kemalangan di Kampung Sungai Miang.

KUANTAN – Dua individu maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah treler berhampiran Kampung Sungai Miang, Pekan malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Pekan dan Nenasi bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dipercayai bertembung dengan treler dan mengakibatkan kereta terbabit terputus dua serta terbakar.

“Seorang mangsa lelaki dipercayai pemandu kereta itu tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala mangsa wanita tersepit dan terbakar di dalam kereta itu,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan, katanya. – BERNAMA