KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini menjalinkan kerjasama strategik dengan sebuah universiti di China, dua universiti tempatan dan sebuah persatuan dalam negara.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasinya, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) tersebut bertujuan untuk mengukuhkan rangkaian kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi.
“Dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) UKM bersama Anhui University of Chinese Medicine, China dan Malaysian Natural Products Society (MNPS).
“Dua lagi memorandum perjanjian (MoA) melibatkan INBIOSIS, UKM bersama Taylor’s University dan Kolej Universiti Manipal, Malaysia.
“Kerjasama ini sudah pasti akan menghasilkan siswazah dan kakitangan yang berdaya saing, melengkapkan diri mereka dengan pengalaman interaksi di peringkat global yang amat berharga, menerusi program mobiliti dan pembangunan sijil professional,” katanya dalam satu kenyataan.
Memorandum itu ditandatangani dan dimeterai bersempena penganjuran persidangan Asian Regional Conference on Systems Biology (ARCSB 2023) di Swiss Garden Hotel, Melaka.
Menurut Dr Wan Kamal, seramai 150 peserta dari dalam dan luar negara menyertai perbincangan penyelidikan bioteknologi dan biodiversiti tersebut.
Beliau berkata, fokus utama memorandum persefahaman antara INBIOSIS dan Anhui University of Chinese Medicine adalah pertukaran dan mobiliti pensyarah serta pelajar, perkongsian data, penerbitan bersama dan kerjasama penyelidikan.
Sementara itu, katanya, fokus utama persefahaman antara INBIOSIS bersama Malaysian MNPS adalah bagi kerjasama dalam pembangunan sijil profesional perspektif saintifik dan regulatori dalam ubat herba, suplemen dan kosmetik yang akan ditawarkan oleh INBIOSIS melalui UKMShape.
“UKM telah diamanahkan dengan tugas penting menjalankan penyelidikan komprehensif berhubung perkara berkaitan sintetik biologi dengan kerjasama Taylor’s University dengan pelantikan dua orang pensyarah adjung daripada INBIOSIS.
“Manakala, memorandum perjanjian bersama Manipal College University termeterai bagi mengkaji kesan antioksidan dan antikolinesterase daun Moringa oleifera ekstrak dan pengenalpastian kandungan fitokimianya pada peringkat pertumbuhan yang berbeza,” ujarnya. – MalaysiaGazette