IPOH –  Seramai 60 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia yang dalam perjalanan menuju ke negara asal mereka menggunakan laluan tikus berjaya ditahan selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan di bagan Sungai Tiang Darat, Selekoh, di sini, hari ini.

Turut ditahan dua warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun yang merupakan pemandu kenderaan membawa kesemua Pati berkenaan ke lokasi tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 3.45 pagi yang memaklumkan ada sebuah bot yang dipercayai membawa Pati terkandas di sungai berkenaan.

Kata beliau, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan anggota Balai Polis Rungkup dengan dibantu Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor serta Pasukan Polis Marin Kampung Acheh dikerah ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kehadiran warga asing seperti dimaklumkan dalam bot berkenaan namun pemeriksaan lanjut di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sungai itu membawa kepada penemuan 60 Pati Indonesia.

“Semakan ke atas 20 wanita dan 40 lelaki berusia 20 hingga 63 tahun itu mendapati tiada dokumen perjalanan sah selain dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun terkandas akibat bot tersebut mengalami kerosakan enjin.

“Turut ditahan di lokasi sama dua lelaki tempatan yang disyaki membawa Pati tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(C) akta sama.

Tambah Mohd Yusri, kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya polis.

“Justeru, kita menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan negeri Perak aman serta selamat,” katanya. – MalaysiaGazette