Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Semua masjid dan surau di seluruh negara disarankan supaya mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas akibat bencana banjir ketika ini.

Setakat ini, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah berdepan situasi banjir buruk musim monsun timur laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut mengarahkan semua agensi dan jentera di bawah jabatannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa serta membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.

Beliau juga akan bersama agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu mangsa-mangsa yang terkesan di negeri-negeri yang terjejas.

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutamanya melibatkan umat Islam dua negara serumpun.

“Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Na’im turut menyatakan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette