Bilal Rayyan Abdullah, 20, mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah asrama mualaf, di Melaka sejak Mei lalu. didakwa atas empat pertuduhan berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail namun hanya mengaku bersalah dua daripada pertuduhan itu.

MELAKA – Seorang pemuda menangis di kandang Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki di sebuah asrama mualaf, di sini sejak Mei lalu.

Tertuduh, Bilal Rayyan Abdullah, 20, didakwa atas empat pertuduhan berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail namun hanya mengaku bersalah dua daripada pertuduhan itu.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa persetujuan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di bilik asrama dan tandas lelaki Kompleks Darul Huda, Balai Islam Melaka pada 14,15,22 dan 23 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, bekas pelajar Sekolah Henry Gurney itu boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan mengambil kira pengakuan salahnya terhadap dua daripada empat pertuduhan itu.

Beliau turut memohon tarikh baru sementara menunggu laporan sosial tertuduh yang berusia 20 tahun dua bulan.

Mohd Sabri kemudian menerima permohonan pendakwaan dan menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendengar fakta dan menjatuhkan hukuman.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang murid tahun enam melalui detik hitam apabila diliwat sebanyak 30 kali oleh rakan sebilik sebuah asrama lelaki mualaf di Melaka Tengah di sini, sepanjang Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, tindakan nafsu songsang suspek itu berlaku ketika mangsa sedang tidur dan ketika berada di tandas asrama berkenaan.

Menurutnya, perbuatan keji suspek terbongkar selepas mangsa akhirnya menceritakan perkara itu kepada bapanya Ahad lalu selepas tidak tahan sering diganggu suspek. – MalaysiaGazette.

Murid 12 tahun diliwat 30 kali dalam bilik, tandas asrama