Riad Asmat

KUALA LUMPUR – AirAsia Aviation Group mengumumkan pelantikan Riad Asmat sebagai ahli Lembaga Penasihatnya apabila beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd, berkuat kuasa 31 Disember 2023.

Menurut kumpulan itu dalam kenyataan hari ini, Riad juga akan terus berada dalam Lembaga Pengarah AirAsia Bhd dan Ground Team Red, selain daripada menyediakan kerja-kerja perundingan untuk Capital A Aviation Services.

“Riad, melalui visi strategik dan kepimpinannya, telah memainkan peranan penting dalam menerajui syarikat penerbangan melalui cabaran yang wujud akibat pandemik Covid-19

“Kepimpinannya telah memainkan peranan penting bukan sahaja mengekalkan syarikat penerbangan dalam tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi turut menempatkannya untuk masa depan yang baik dalam landskap pascapandemik,” katanya.

Riad berkata, ini bukan keputusan yang mudah dan “semasa meletakkan jawatan sebagai CEO, saya mahu terus menyokong syarikat dalam fasa seterusnya.”

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, Riad akan kekal sebagai sebahagian daripada AirAsia dengan menyertai Lembaga Penasihat.

“Semua operasi kami akan berjalan seperti biasa, tidak terjejas dengan peralihan ini. Kami mahu meneruskan perjalanan kami dengan bimbingan beliau dan mempunyai keyakinan penuh di tangan pasukan yang berkebolehan selain memastikan peralihan yang lancar apabila CEO baharu dilantik,” katanya.

AirAsia akan mengumumkan kemas kini tambahan mengenai penstrukturan semula syarikat dan kakitangan dalam kumpulan dalam masa terdekat.

Riad dilantik sebagai CEO AirAsia Bhd pada 10 Januari 2018 dan bertanggungjawab ke atas pengurusan operasi syarikat yang berpangkalan di Malaysia. – Bernama