Gambar yang dimuat naik Amirudin menunjukkan berliau berjalan bersama Sultan Sharafuddin di lapangan terbang. Gambar: Facebook Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Amirudin berkata, sebagai ahli politik berpengalaman dan pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Koo Ham wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu melibatkan hal ehwal agama Islam.

Menurutnya, Koo Ham telah beberapa kali mencetuskan polemik yang berlegar pada skop yang sama senelum ini.

Amirudin berkata, tindakan Koo Ham hanya membebani parti beliau yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan

“Yang jelas dan tuntas meletakkan Agama Islam di tahap tertinggi sebagai pembuktian komitmen Pakatan Harapan melalui kombinasi strategik bersama Barisan Nasional untuk menjadi perisai pertahanan Agama Islam yang lebih baik berbanding mana-mana entiti terdahulu.

“Upaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam memperihalkan perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak dan cakna oleh setiap ahli politik khususnya Ahli-ahli Parlimen.

“Seyogia titah Sultan Selangor hadir tepat masanya sekali gus perlu menjadi titik noktah kepada mana mana ahli politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai seorang pengamal undang-undang berpengalaman, beliau berpendapat, tidak ada keperluan untuk mempertimbangkan pandangan dan komentar Koo Ham.

Tegasnya, kewenangan pengurusan agama Islam yang menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi yang memungkinkan penyelewengan tafsir sehingga mencetus keresahan.

Semalam Sultan Sharafuddin mengingatkan ahli politik khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Titah Sultan Sharafuddin, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Sebelum itu media melaporkan Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Pemimpin DAP itu berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat. – MalaysiaGazette