Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid

SHAH ALAM – Satu perhimpunan bagi menghimpunkan sejuta rakyat Malaysia akan diadakan sebagai menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendesak supaya peperangan di Gaza dihentikan serta-merta.

Koordinator Perhimpunan berkenaan, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, himpunan anjuran Gabungan Badan Sivil Malaysia merentas Bangsa dan Agama yang dipanggil “Sejuta Rakyat Untuk Palestin” itu akan diadakan di ibu negara pada 24 Februari tahun depan.

Katanya, himpunan itu juga diadakan bagi menyatakan pendirian rakyat Malaysia terhadap jenayah kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin dibawah sokongan dan biaya Amerika Syarikat.

“Perhimpunan ini adalah refleksi dari sentimen rakyat seluruh dunia yang bangkit menentang terorisme Israel.

“Ratusan ribu rakyat di kota-kota besar diseluruh dunia berhimpun dijalanraya sejak perang Gaza tercetus.

“Desakan rakyat adalah supaya PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bertindak serta-merta untuk hentikan perang dan memberi akses kepadan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada mangsa keganasan Israel ke atas warga Gaza,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) di sini, hari ini.

Mohd Azmi yang juga Presiden MAPIM berkata,
Palestin di Gaza kini menjadi tunjuk arah moral dunia untuk mengukur tahap kemanusiaan masyarakat antarabangsa.

Ujarnya, jika apa yang berlaku sekarang di Gaza tidak menggugah nurani, maka tahap kemanusiaan boleh dianggap telah lenyap.

Jika keganasan yang meragut nyawa hampir 9,000 kanak-kanak, 6,000 wanita di Gaza dan 200 masjid dimusnahkan tidak menyentuh perasaan seorang Muslim, maka, keimanannya boleh dipersoalkan, katanya.

“Kami mempersoalkan apa jadi kepada resolusi gencatan senjata kemanusiaan yang dilulus di Majlis Keselamatan PBB beberapa hari yang lalu?

“Israel terus menyerang dan membunuh lebih 200 warga Gaza hatta diperayaan Hari Natal,” katanya.

Mohd Azmi berkata, perhimpunan yang akan diadakan itu akan menghantar mesej yang kuat daripada rakyat Malaysia kepada PBB untuk segera bertindak menyekat Israel dari terus melakukan serangan ganas ke atas Gaza.

Tambah beliaum pihaknya, akan memohon kerjasama daripada pihak berkuasa untuk membantu melancarkan perhimpunan yang akan diadakan secara aman.

“Perhimpunan ini akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia dikalangan ahli Ngo , komuniti akar umbi, mahasiswa, ahli Qaryah Masjid, kesatuan sekerja, ahli agamawan dan profesional, aktivis politik serta ushawan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, himpunan itu menyasarkan penglibatan daripada 1,000 badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakannya.

Jelas beliau, slogan “Kami semua Palestin” akan menjadi seruan kepada seluruh rakyat untuk bersama dalam himpunan itu yang merupakan tanda solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin.

“Pembantaian Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza adalah juga pembantaian ke atas kemanusiaan semuanya diseluruh dunia.

“Kami ingin menyatakan pendirian bersama kerajaan untuk menyatu seluruh Malaysia merentas bangsa dan agama atas nama kemanusiaan dan keadilan sejagat bahawa penaklukan Israel mesti ditamatkan.

“Israel mesti dihukum atas jenayah perangnya ke atas Palestin serta hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka perlu dikembalikan serta-merta,” tegasnya.

Sementara itu pada sidang media sama, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua mengajak orang ramai untuk menyertai Program Bantahan Kepung Demi Palestin yang sedang berlangsung di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.

Bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang bercakap ketika sidang media Himpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin yang di Pejabat Presiden MAPIM, Bukit Jelutong. Foto SYADILA AMARI, 30 DISEMBER 2023.

Katanya, pelbagai program kesedaran diatur dengan pengisian ceramah-ceramah daripada pelbagai pihak sebagai menggantikan acara sambutan Ambang Tahun Baru 2024.

“Kita kena insaf dengan apa yang sedang dialami oleh rakyat Palestin termasuk penderitaan yang sedang mereka tanggung.

“Tidak perlu adakan sambutan ambang tahun baharu yang meriah sebaliknya, kita semua kena bersolidariti untuk selamatkan Gaza,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast