Superintendan Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu hari ini.

“Kita akan membuat siasatan termasuk menghubungi pihak Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pegawainya membuat laporan berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Setapak kira-kira 2 petang tadi.

“Perbelanjaan tersebut besar…kita (rakyat) mahu tahu ke mana perginya perbelanjaan RM700 juta, ada sumber mendakwa bahawa ada penyalahgunaan kuasa melibatkan bekas petugas perdana menteri sebelum ini.

“Kami mahu polis menyiasat perkara ini dan diikuti siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan sehingga RM700 juta untuk kerja pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan oleh dua pentadbiran terdahulu adalah bagi menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan. – Bernama