Hamdan Senario

KUALA LUMPUR – Pelawak, Hamdan Senario kini ‘ditidurkan’ di Hospital Ampuan Aminah Johor Bahru akibat kuman dalam darah.

Beliau berada di Johor semalam bagi memenuhi undangan persembahan sempena Sambutan Tahun Baru tetapi mengalami cirit birit dan muntah dan dimasukkan ke hospital.

Hamdan dikatakan mengalami kompilkasi kegagalan buah pinggang tahap 3.

Menurut anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, 20, pada awalnya, bapanya hanya mengalami cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan selepas pulang dari makan malam semalam sebelum dibawa ke hospital pagi tadi.

“Ayah mengalami cirit-birit sejak semalam dan berlarutan sehingga hari ini sebelum kami bawanya ke hospital sekitar pukul 11 pagi.

“Tiba-tiba ayah sukar untuk bernafas. Selepas pemeriksaan lanjut, doktor maklumkan dia perlu ditidurkan kerana jangkitan kuman dalam darah agak tinggi.

“Kalau normal, bacaan hanya bawah 10 tetapi hasil pemeriksaan, bacaan ayah ialah 32, sangat tinggi,” katanya kepada Kosmo! Online dalam nada sebak.- MalaysiaGazette