KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terbabit dengan sebarang gerakan bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk Langkah Dubai yang tular sejak kebelakangan ini.
Pegawai khasnya, Affifi Aris sebaliknya memberitahu, bosnya itu pergi ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah malah sempat bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mekah.
Katanya, selepas menunaikan ibadah umrah, Ismail Sabri terbang pulang ke Kuala Lumpur tanpa singgah di Dubai.
“Alhamdulillah, perjalanan ibadah umrah yang sangat mendamaikan. Pertamanya ingin saya maklumkan, kesihatan (mantan) perdana menteri ke-9 dan keluarga sihat sepanjang mengerjakan ibadah umrah.
“Keduanya, diri saya menjadi saksi kami semua tinggalkan seketika perihal politik negara dengan tumpuan mencari keredhaan Ilahi dengan menunaikan ibadah wajib dan sunat untuk meraih pahala berganda.
“Saya kira janganlah libatkan cerita karut mengenai bos saya dengan pelbagai teori dongeng.
“Sepanjang beliau tidak menjadi Perdana Menteri, saya lihat aktiviti datuk seri sendiri sudah sibuk dengan pelbagai program termasuk riadah di hujung minggu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Posting itu adalah untuk menafikan dakwaan kononnya Ahli Parlimen Bera itu terbabit dengan Langkah Dubai bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Affifi berkata, Masjidil Nabawi di Madinah turut menjadi saksi pertemuan akrab antara Ismail Sabri dan Ahmad Zahid.
Ismail Sabri berjemaah dalam saf yang sama, dijarakkan dengan enam jemaah sahaja.
Selesai solat Zohor, beliau bangkit menuju ke arah Presiden UMNO itu untuk bersalaman dan bertanya khabar sambil berpelukan.
Affifi mengingatkan kepada mereka yang berada di dalam kerajaan jalankan tanggungjawab dengan keyakinan bahawa mandat kerajaan kukuh.
“Apa yang kalian janji, cuba laksanakan agar Kerajaan Perpaduan ini boleh diterima rakyat.
“Kepada mereka yang bercita-cita mahu kembali ke Putrajaya, rezeki dalam politik tidak pernah salah alamat, tetapi, jangan memijak dan membunuh saudara kita demi cita-cita politik kalian,” katanya. – MalaysiaGazette
















