Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengemukakan cadangan mengenai urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Presidennya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata partinya mempunyai jawatankuasa khusus yang bertanggungjawab untuk melihat isu persempadanan semula.

“Buat masa ini perkara itu (persempadanan semula) masih lagi dalam kajian. Kita akan buat cadangan sahaja kerana keputusan muktamad adalah pada SPR,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan di Sarawak.

Beliau berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Menurut Abdul Ghani, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018, manakala bagi Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017.

Beliau berkata sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR, serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast