Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) membuat tuntutan takaful untuk murid yang dilaporkan lemas di Kelantan baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tuntutan sebanyak RM5,500 seorang akan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Malah sekolah-sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga akan mendapat bantuan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

“Kita akan menyerahkan tuntutan takaful sebanyak RM5,500 seorang kepada keluarga mangsa.

“Sekolah-sekolah yang terkesan banjir dan sekolah yang dijadikan PPS akan diberikan bantuan sebanyak RM2,000 oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn,” katanya pada sidang media khas berhubung situasi terkini kesan banjir melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM di sini hari ini.

Sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL), seorang kanak-kanak lelaki di Kubang Kerian dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas dilapor lemas dalam kejadian air bah itu.

Kanak-kanak perempuan tahun lima ditemukan lemas ketika bermain banjir.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan menghadapi peperiksaan awam, Fadhlina berkata, seramai 4,058 calon Sijil Tinggi Agama akan menduduki peperiksaan bermula hari ini.

“Setakat 2 petang semalam, tiada calon yang berada di PPS akibat banjir,” katanya.

Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 (SPM) yang akan bermula 8 Januari ini, Fadhlina berkata, seramai 395,870 calon SPM 2023 akan menduduki peperiksaan dan hanya seorang calon masih berada di PPS di negeri Johor.

“Hingga semalam, tiada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2023 (STPM) yang berada di PPS dan peperiksaan STPM akan dikelolakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bermula 9 Januari,” ujarnya. – MalaysiaGazette