PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan gerakan menjatuhkan kerajaan – digelar Langkah Dubai – seperti dilaporkan beberapa hari lalu digagalkan sendiri oleh kumpulan-kumpulan tersebut.
Enggan mendedahkan mana-mana nama, Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada penglibatan daripada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam usaha menjatuhkan kerajaan itu.
“Saya telah mengenal pasti tidak ada (gerakan Langkah Dubai). Yang ada sekarang (ahli Parlimen BN) tidak terlibat.
“Saya fikir mereka (Gerakan Langkah Dubai) berusaha tetapi satu usaha yang mereka gagalkan,” katanya menjawab pertanyaan media mengenai wujud gerakan baharu untuk menjatuhkan kerajaan di sini hari ini.
Artikel berkaitan:
- Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana – Ahmad Maslan
- Ismail Sabri tak terlibat dengan Langkah Dubai
Minggu lalu, timbul desas-desus mengenai Langkah Dubai yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan dengan matlamat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cubaan didakwa itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.
Selain pemimpin pembangkang, Langkah Dubai didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dituduh menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran Anwar.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu. – MalaysiaGazette