BAITULMAQDIS – Pemimpin Israel terus mengeluarkan kenyataan yang menggalakkan pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir semalam berkata, perang di Gaza adalah peluang untuk menggalakkan rakyat Palestin berhijrah dari wilayah tersebut.
Ketua parti Otzma Yehudit (Kuasa Yahudi) itu berkata; “Perang itu memberi peluang untuk menumpukan perhatian kepada menggalakkan penghijrahan penduduk Gaza”.
Ben-Gvir yang dikenali sebagai pelampau Yahudi berkata, Israel mempunyai rakan kongsi di seluruh dunia yang boleh membantu menyerap pelarian Palestin dari Gaza tanpa menyebut nama negara terbabit.
Beliau berkata, penghijrahan rakyat Palestin membolehkan warga Israel yang tinggal di sekitar Semenanjung Gaza untuk ‘kembali ke penempatan mereka’.
Ben-Gvir yang sebelum ini mengedarkan senjata M16 kepada pendatang Yahudi ‘untuk mempertahankan diri’ itu juga tidak menolak pendatang Yahudi tinggal di Gaza.
“Kami tidak boleh berundur dari mana-mana wilayah yang kami berada di Semenanjung Gaza. Saya bukan sahaja tidak menolak penempatan Yahudi di sana, saya percaya ia juga satu perkara yang penting,” katanya seperti yang dilaporkan agensi berita Anadolu.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.
Jumlah kematian rakyat Palestin kini telah mencecah 22,000 orang dan 56,451 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. – Agensi