PUTRAJAYA – Kerajaan menasihati parti pembangkang agar mengamalkan politik secara sihat dan kena pada waktunya ketika rakyat diberi peluang membuang undi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sepatutnya digunakan pembangkang untuk berpolitik untuk menukar kerajaan secara sah.
Apatah lagi jelas beliau, menukar kerajaan secara tebuk atap tidak lagi akan berjaya kerana Akaun Bersumpah tidak sah untuk digunakan selepas wujudnya Akta Anti Lompat Parti.
“Boleh berpolitik apabila sampai waktunya rakyat mengundi dalam PRU atau PRK atau PRN yang akan diadakan di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.
“Tetapi soal tebuk atap ini saya fikir Akuan Bersumpah tidak akan lagi digunakan sebagai platform utama sebelum wujudnya Akta Anti Lompat Parti.
“Kini keputusan besar mesti dibuat oleh parti untuk menukar parti secara en blok,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanah Tahun 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan Kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengakui senario politik negara ini sangat dinamik dan sama ada dari pada kerajaan atau pembangkang, pasti ada langkah-langkah dilakukan.
Namun hakikatnya jelas beliau, rakyat mahu melihat kestabilan politik negara bagi menentukan pertumbuhan ekonomi meningkat naik untuk memberi sandaran kepercayaan kepada pelabur asing masuk melabur di negara ini.
“Begitu juga pelabur langsung domestik (DDI) dapat dibuat oleh industri kita dan kadar pengangguran perlu dikurangkan dan peluang pekerjaan mesti diwujudkan.
“Ini (tukar kerajaan) tidak akan berlaku kerana jaminan telah diberikan Premier Sarawak yang mengetuai GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan kita yakin GRS (Gabungan Rakyat Sabah) di Sabah juga mereka sibuk mungkin dengan PRN.
“Jadi apa yang berlaku di peringkat nasional bukan keutamaan dan saya fikir mereka mahu menstabilkan kedudukan kerajaan negeri.
“Saya fikir pihak pembangkang cukup melakukan langkah-langkah apa nama sekali pun jangan buang masa rakyat untuk alih perhatian rakyat bagi bersama-sama dapat nikmat projek-projek perancangan dan program yang telah disusun kerajaan madani kita ada tempoh empat tahun untuk PRU dalam tempoh itu bersama-sama membina negara ini selepas rosak selama satu penggal ada tiga perdana menteri m dan tidak hasil kepada rakyat pun,” katanya. – MalaysiaGazette