Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih membuka pintu rundingan kepada blok pembangkang bagi mencapai kata sepakat dengan kerajaan dalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jalinan kerjasama yang harmoni amat penting memandangkan semua Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab besar dan memainkan peranan penting dalam semak dan imbang perkara berkaitan dengan dasar Kerajaan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, penyediaan draf MoU mendapat maklum balas dan persetujuan semua wakil whip parti gabungan yang membentuk Kerajaan Madani sebelum dikemukakan kepada Ketua Whip pembangkang secara rasmi pada 1 Ogos lalu.

“Tanpa sebarang maklum balas terus kepada kerajaan, pihak pembangkang membuat kenyataan media pada 14 September untuk menolak draf MoU yang dikemukakan atas alasan boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH- Pulai) mengenai punca penolakan pembangkang terhadap MoU peruntukan Parlimen dan perbezaan perjanjian sekarang dengan era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri.

Fadillah menambah, keputusan berbeza ketika zaman pentadbiran Ismail Sabri apabila MoU itu berjaya dimeterai kerajaan bersama pimpinan kanan Pakatan Harapan (PH) diterajui Anwar yang ketika itu adalah ketua pembangkang.

“Ini berbeza ketimbang semasa pentadbiran Ismail Sabri ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

“Ketika itu, beberapa siri rundingan telah dilaksanakan pihak kerajaan bersama pihak pembangkang.

“Draf MoU yang disediakan kerajaan pada ketika itu dipinda berkali-kali berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak sebelum mencapai kata sepakat dan dimuktamadkan,” katanya.

Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menolak MoU itu atas sebab hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menulis surat kepada Fadillah bagi membincangkan semula isu itu.

Awal September lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan.

Syarat itu termasuk pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 serta perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast