KUALA LUMPUR – Penyerang sayap Harimau Malaya, Faisal Halim menarik perhatian Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) apabila wajahnya dijadikan poster bersama penyerang handalan Korea yang sedang mewakili kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, Son Heung-min menjelang Piala Asia 2024 di Qatar, minggu depan.
Poster tersebut sudah pasti membangkitkan keghairahan semua pemain dan juga penyokong Malaysia yang tidak sabar temasya itu berlangsung.
Skuad Kim Pan Gon akan berdepan aksi pemanas badan berdepan Syria pada 8 Januari sebelum mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Walaupun akan berdepan Jordan pada perlawanan pembukaan, ramai yang tidak sabar menyaksikan aksi Harimau Malaysia berdepan Korea Selatan yang memiliki sejarah unik pada era 70 dan 80an kerana aksi sengit ketika itu.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari ini (1.30 pagi 16 Jan waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari depan
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas menanti 42 tahun selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007. – MalaysiaGazette