Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Seorang petani ‘berputih mata’ apabila kereta Myvi yang ditinggalkan dalam keadaan enjin hidup dilarikan di depan matanya semalam.

Difahamkan, kejadian yang berlaku di pekan Ijok, Bestari Jaya Kuala Selangor ketika mangsa sedang membeli sarapan pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin dalam kenyataan hari ini berkata, insiden dilaporkan berlaku ketika lelaki berusia 41 tahun itu berada di warung nasi lemak berhadapan sebuah restoran di sini.

Mohd Ambia berkata, mangsa yang memandu kenderaan itu hanya meletakkan kira-kira lima meter dari tempat membeli makanan.

“Tiba-tiba kenderaan itu dilihat diundurkan dengan pantas sebelum dibawa lari ke arah jalan besar yang menghala ke Ijok. Kenderaan itu milik isteri mangsa dan telah digunakan sejak 2007.

“Berdasarkan maklumat awam, kita dapati suspek adalah seorang lelaki. Usaha mengesan mangsa giat dijalankan.

“Kes sedang disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya kepada media. -MalaysiaGazette