MBPP mengeluarkan 25 notis kompaun terhadap tiga premis makanan menerusi Ops Sepadu di sekitar bandaraya Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Sebanyak 25 notis kompaun dikeluarkan terhadap tiga premis makanan sekitar bandaraya ini selepas didapati gagal mematuhi syarat lesen Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

MBPP dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia meliputi pelbagai kesalahan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) seperti Establisymen Makanan MPPP 1991, UUK Pengendali Makanan MPPP 1983 17(1) serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974-46(1).

“Operasi itu turut membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Timur Laut dan Seksyen Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Pulau Pinang (SSM).

Kebanyakan pemilik premis gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan MBPP.

“SSM telah mengeluarkan sebanyak lapan notis kompaun atas kesalahan gagal mempamer sijil pendaftaran perniagaan; gagal mencatat nama dan nombor perakuan perniagaan berdaftar di tiap-tiap kepala surat, invois, bil atau lain-lain dokumen dan gagal mempamer papan tanda mengandungi nama dan nombor pendaftaran perniagaan dengan kadar denda berjumlah RM12,400.

“Dalam operas sama, KPDN merampas sebanyak 17 tong petroleum cecair (LPG) bersaiz 14 kilogram (kg) di premis pertama manakala premis kedua dikenakan tindakan rampasan sebanyak 10 tong LPG bersaiz 12kg,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MBPP akan terus membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu bersama jabatan serta agensi berkaitan dari semasa ke semasa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast