Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd memperkenalkan Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA), yang memberikan impak sosial dan alam sekitar yang positif melalui Kewangan Sosial.

Pada masa sama, ia direka untuk pelanggan yang mencari pelaburan stabil jangka pendek dalam mengharungi ketidaktentuan yang sering dikaitkan dengan pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata ISIA mencerminkan komitmen bank dalam mendahulukan kemakmuran untuk semua.

“Menerusi ISIA, kami memberi peluang kepada pelabur untuk bersama-sama membentuk ekonomi positif kepada alam dengan meneroka potensi Kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ISIA ditawarkan dan tersedia untuk pelabur individu mewah dan bukan individu dengan jumlah pelaburan minimum masing-masing RM50,000 untuk individu dan RM1 juta untuk bukan individu.

Ia menawarkan pulangan tahunan indikatif 4.50 peratus, dengan  2.50 peratus daripada keuntungan akan disalurkan ke Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atau Sadaqa House Bank Islam.

“Ini merupakan salah satu elemen sosial yang diterapkan dalam ciri-ciri kempen ini. Keuntungan akan diagih secara separuh tahunan dan dalam tempoh pelaburan selama 24 bulan,” katanya.

ISIA adalah akaun pelaburan perintis yang direka untuk menawarkan pelabur akses terhadap aset pembiayaan berteraskan ESG atau SDG yang menyokong objektif Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dan pengelasan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip selaras dengan rangka kerja Bank Negara Malaysia (BNM).

Dana ini akan dilabur dalam portfolio pelbagai daripada aset bukan runcit Bank meliputi tenaga boleh diperbaharui, pembiayaan hijau, pengangkutan mesra alam, bekalan air bersih dan pengurusan sisa serta sektor-sektor lain yang menyumbang kepada kewujudan bandar-bandar mampan dan memenuhi matlamat komuniti.

Bank telah mewujudkan rangka kerja pengawasan ketat melibatkan proses seperti usaha wajar yang rapi dan menyeluruh, penilaian impak lengkap serta pemantauan berterusan dana tersebut. – BERNAMA