KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman diberi tempoh tujuh hari membuat permohonan maaf secara terbuka kerana memfitnah Datuk Zulkarnain Mahdar bahawa beliau menuduh bahagian Sepanggar parti itu menerima dana daripada kartel dadah.
Zulkarnain yang merupakan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang menafikan dakwaan itu berkata, beliau tidak menyebut nama Mohd Azis mahupun pemimpin Warisan lain dalam laporan polisnya pada 4 Januari lalu.
“Dalam laporan polis itu saya menyatakan, saya ditemui oleh seorang individu tidak dikenali memberikan maklumat untuk dibawa kepada perhatian pihak polis.
“Maklumat tersebut menyebut kartel dadah yang telah ditahan polis sebelum ini telah menyumbang sejumlah wang untuk membantu Warisan Bahagian Sepanggar pada PRU15 dan PRN16 di Sabah.
“Sebagai aktivis politik selama hampir 30 tahun, saya tidak pernah walau sekali pun mengeluarkan kenyataan fitnah kepada sesiapa walaupun seteru saya.
“Sebaliknya ianya dibuat secara berfakta sebaliknya saya kerap menerima fitnah kerana mempertahankan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, MalaysiaGazette melaporkan G57 meminta polis menyiasat dakwaan Warisan Bahagian Sepanggar menerima dana daripada kartel dadah untuk membiayai dua pilihan raya sebelum ini.
Zulkarnain berkata, maklumat itu diterimanya pada 3 Januari lalu daripada seorang individu tidak dikenalinya dan mengatakan salah seorang kartel dadah itu kini berada dalam tahanan polis.
Terdahulu, media melaporkan Mohd Azis akan menyaman Zulkarnain sebanyak RM100 juta kerana mendakwa Warisan Bahagian Sepanggar menerima dana daripada kartel dadah.
Mohd Azis berkata, beliau akan berbuat demikian jika Zulkarnain tidak menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan itu dan memohon maaf dalam tempoh tujuh hari selepas pihaknya mengeluarkan surat tuntutan terhadap beliau.
Sehubungan itu, Zulkarnain telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk memfailkan saman sehingga RM150 juta kepada Mohd Azis susulan kenyataan tuduhan fitnah itu.
“Fitnah Mohd Azis kepada saya pada 6 Januari itu jelas berniat jahat dan cubaan menjatuhkan reputasi saya.
“Saya juga akan menghantar surat tuntutan ke atas Mohd Azis dalam masa terdekat kerana fitnah jahat yang dilemparkan kepada saya.
“Laporan Polis fitnah juga akan dibuat ke atas Mohd Azis,” katanya.
Katanya, beliau sedia berhadapan dengan Mohd Azis atau mana-mana pimpinan Warisan di mahkamah kerana pemimpin NGO itu berada di pihak benar.
“Saya juga tidak akan membuat apa-apa permohonan maaf kepada Warisan termasuk Mohd Azis yang juga bekas Ahli Parlimen Sepanggar.
“Saya dan peguam juga sedang memperhalusi satu lagi tuntutan saman ke atas Mohd Azis kerana satu fitnah terhadap saya pada Disember 2017,” katanya. – MalaysiaGazette
-TAMAT-