GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memantau kenaikan harga bawang merah India di pasaran yang dilaporkan meningkat secara drastik.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di beberapa lokasi di negeri ini menunjukkan harga bawang yang diimport dari India meningkat kepada RM9 satu kilogram (kg).

“Semasa perayaan Krismas, harga bawang dikawal pada kadar RM5.00 sekilogram namun dalam tempoh dua minggu ia telah meningkat hampir 100%.

Mohideen.

“Malah, rata-rata pemborong mendakwa masalah itu bermula apabila tiada bekalan bawang diperoleh dari India dan mereka tidak mengetahui punca sebenar bekalan terhenti.

“Pemborong juga mendakwa hanya 60 peratus daripada guni berisi 10kg bawang boleh dijual manakala 40 peratus lagi selalunya rosak dan busuk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mohideen menggesa KPDN dan Fama menjalankan siasatan segera berhubung isu kenaikan harga bawang serta isu bekalan yang diperoleh yang didakwa tidak berkualiti. – MalaysiaGazette