KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa dikelirukan bagi ditemuramah dalam filem dokumentari Netflix, ‘Man On The Run’ beberapa tahun lepas.
Salah seorang pengarah dan penulis filem itu didakwa telah memberi naratif lain, berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Dokumentari itu dilihat menyentuh skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini.
Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, dokumentari itu seolah-olah memberi gambaran negatif tentang keperibadian Najib sepanjang bergelar Perdana Menteri.
“Najib telah didampingi oleh dua pengarah dokumentari ini, salah seorangnya ialah Cassius Michael Kim. Pada awalnya, filem ini mempunyai dua pengarah namun salah satu telah tarik diri selepas melihat perjalanan cerita program tersebut.
“Anak guam saya telah dikelirukan dengan mendakwa program ‘Man On The Run’ ini adalah berkaitan dengan Jho Low dan langsung tidak berkaitan dengan Najib. Nampak sangat cakap lain dan buat lain. Tetapi apa yang Najib cakap dalam rancangan itu semuanya benar belaka.
“Saya sendiri tengok dan beri justifikasi apa yang dilakukan olehnya sangat betul dan benar tapi pengarah ini telah mengelirukan beliau dengan perjalanan program tersebut,” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee kecewa dengan tindakan beberapa individu yang membuat kesimpulan terhadap prosiding sedang berjalan ketika ini dan mencemarkan imej Najib.
“Antaranya kenyataan melampaui batas oleh editor Sarawak Report, Clare Brown yang seolah-olah mendakwa Najib adalah seorang pemimpin terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengaitkan beliau dengan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.
“Juga kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sendiri cuba mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibu. Cara mereka gambarkan seolah-olah Najib bukan sahaja perasuah sebaliknya juga pembunuh bersiri, kita tidak boleh tolak ansur.
“Kita juga akan ambil tindakan undang-undang prosiding hina mahkamah terhadap Tommy Thomas dan juga Clare Brown selain daripada tindakan lain kerana membuat fitnah anak guam kami terlibat dengan pembunuhan dan sebagainya,” ujarnya.
Dokumentari Man On The Run yang berdurasi 1 jam 38 minit mula ditayangkan pada 5 Januari lepas dan difahamkania ditayanghkan di pawagam di Singapura pada 5 Oktober lalu namun tidak mendapat sambutan.
Dokumentari arahan Michael Kim itu turut memaparkan temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo. -MalaysiaGazette