Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM, 26 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Raja dadah warga Malaysia yang akan dikenakan pertuduhan mengedar dadah di Thailand tidak akan di ekstradisi ke Malaysia.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak bercadang untuk membawa balik suspek ke negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, PDRM telah  menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa Thailand.

“Setakat ini tiada perancangan untuk membawa balik individu itu, kita serahkan kepada Thailand…biarlah dia menghadapi pertuduhan di negara berkenaan atas aktiviti dadah.

“Jika Thailand mempunyai cukup bukti biar mereka ambil tindakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurut beliau, suspek berusia 41 tahun itu telah berkahwin dengan seorang wanita di sana.

Pada 2 Disember lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengesahkan penahanan warga Malaysia di Laos.

Individu terbabit sudah berada dalam senarai orang dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.

Bukit Aman memaklumkan, penahanan lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu dilakukan hasil pertukaran maklumat dan risikan JSJN Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din dilaporkan berkata, lelaki berkenaan disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

Tindakan menyenarai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.

Polis Thailand pula mendakwa, suspek dan anggota penting sindiket itu bersembunyi di Laos.

Penolong Ketua Polis Negara Pol Lt Jen Panurat Lakboon berkata, Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) telah melakukan siasatan terhadap lelaki itu yang disyaki sebagai dalang utama dalam membekal dan menyelaras aktiviti dadah di kawasan Segitiga Emas sejak 2006. – MalaysiaGazette

Raja dadah Malaysia ditahan di Laos