Ayob Khan Mydin Pitchay.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak sebagai ‘transporter’ sindiket pengedaran dadah syabu terbesar di Sabah sudah ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 43 tahun yang bertugas di Lembah Klang ditahan pada 29 Disember lalu dan menjadi individu ke-11 bagi membantu siasatan berhubung sindiket tersebut.

“Pada operasi terbaharu 29 Disember lalu, kita menahan seorang pegawai agensi penguatkuasa yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan bertugas di Lembah Klang. Suspek sebelum ini pernah bertugas di Sabah.

“Dengan tangkapan ini menjadikan keseluruhan tangkapan (mengikut) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seramai 11 orang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu dan pada masa ini proses operasi dan siasatan masih berjalan.

“Pada masa ini, proses soal siasat masih berjalan dan pada masa sama, kita masih menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Ayob Khan berkata, polis turut melakukan sitaan dan rampasan atas pelbagai aset dan akaun bank milik anggota sindiket berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Kita juga akan berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan aset-aset semua anggota sindiket ini diambil tindakan mengikut AMLATFPUAA.

“Setakat ini ada 22 akaun bank yang telah dibekukan membabitkan bernilai RM420,000; sebanyak 18 kenderaan disita bernilai RM6.6 juta kebanyakannya kenderaan mewah; wang tunai RM35,000; barang kemas dan jam mewah dianggarkan RM100,000,” ujarnya.

Sebelum ini, Ayob Khan dalam satu sidang media pada 26 Disember lalu, memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan pada pukul 2.45 pagi, 25 Disember lalu dilakukan di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ayob Khan berkata, dalam serbuan itu polis menahan 10 lelaki termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah berkenaan yang juga penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berusia 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan mereka menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.

“Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula di bawah SOSMA.

“Siasatan di bawah SOSMA adalah bagi membolehkan pembanterasan kegiatan jenayah berkaitan sindiket secara menyeluruh,” tambahnya.

Ayob Khan berkata, sembilan lagi yang ditahan adalah seorang peniaga berusia 36 tahun dan pembantu peribadi berusia 48 tahun yang juga orang kanan sindiket berkenaan, penjawat awam berusia 44 tahun yang juga pegawai sebuah agensi penguatkuasaan berperanan sebagai transporter bagi sindiket serta seorang buruh berusia 34 tahun yang berperanan sebagai keldai dadah.

Selain itu, dua individu berusia 32 dan 45 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak dan pengarah urusan rangkaian restoran yang menguruskan aspek kewangan sindiket, dua individu berusia 30 dan 31 tahun yang juga penganggur sebagai pengedar dadah dan seorang lagi penganggur berusia 48 tahun yang disyaki tonto kepada sindiket ini.

Modus operandi sindiket pengedaran dadah itu adalah mendapatkan bekalan dadah dan seterusnya dibawa ke Sabah dengan menggunakan syarikat penerbangan komersial dan kiriman kargo laut.

Bekalan dadah akan disimpan di Sabah, sebelum diagihkan kepada pengedar sindiket dan turut diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast