Anggota polis Kota Tinggi, Johor melakukan pemantauan di kawasan banjir.

KOTA TINGGI – Pihak polis memberi jaminan akan sentiasa melakukan operasi pencegahan jenayah di kawasan perumahan penduduk yang dilanda banjir di daerah ini.

Sehubungan itu, penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) diminta tidak bimbang dengan keselamatan harta benda mereka di rumah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dan selamat.

“Sejak banjir  kami  (polis) tidak ada menerima sebarang laporan tentang kehilangan harta benda mahu pun kecurian atau kehilangan nyawa.

“Polis memang telah digerakkan untuk terus memantau dengan kerap kawasan-kawasan yang dinaiki banjir, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan perjalanan sekitar bandar Kota Tinggi ekoran paras air memcecah tiga meter.

Pada masa ini  pengguna jalan raya hanya boleh melalui jalan alternatif untuk keluar dari bandar Kota Tinggi ke Johor Bahru dan Mersing.

Antaranya Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi; Jalan Kota Tinggi-Mersing melalui jalan pintasan (bypass) dan Jalan simpang lampu isyarat Pasak Ke Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru.

“Bagaimanapun  masa perjalanan agak panjang kerana pengalihan jalan. Banyak jalan-jalan yang masih digenangi air,” katanya.

Sementara itu, orang ramai boleh membuat pemantauan jalan menerusi media atau laman facebook rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis serta juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Setakat jam 8 pagi pagi tadiKota Tinggi masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor yang merekodkan seramai 4,707  penduduk daripada 493 keluarga ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS).- MalaysiaGazette