Daniel Hagari

TEL AVIV – Pemimpin pertahanan tentera penceroboh Israel telah menunjukkan peralihan dalam kempen ketenteraan menentang kumpulan penjuang Hamas daripada pertempuran sengit kepada operasi yang lebih disasarkan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF) Daniel Hagari berkata, apabila tumpuan beralih ke bahagian selatan Gaza yang berpenduduk padat, taktik berbeza akan diperlukan untuk mengelakkan korban awam.

Katanya, IDF telah pun memulakan fasa baharu yang kurang intensif dalam perang menentang Hamas dengan lebih sedikit tentera darat dan serangan udara.

“Perang mengubah satu peringkat… Tetapi peralihan itu akan dilakukan tanpa upacara. Ini bukan tentang pengumuman dramatik,” kata Hagari kepada The New York Times.

IDF katanya akan terus mengurangkan bilangan tentera di Gaza, seperti yang mula dilakukan pada awal Januari.

Perkara sama turut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Yoav Gallant yang berkata, tentera Israel sedang beralih daripada fasa gerakan perang yang sengit kepada jenis operasi khas yang berbeza.

“Kita perlu mengambil kira jumlah besar orang awam,” kata Gallant kepada Wall Street Journal dalam satu wawancara yang diterbitkan Ahad, sambil menambah bahawa taktik ketenteraan “mengambil sedikit masa” untuk menyesuaikan diri.

IDF akan meneruskan operasi intensif di tengah dan selatan Gaza sambil menjalankan operasi yang lebih kecil di utara.

Serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan 23,000 penduduk yang sebahagian besar adalah bayi dan kanak-kanak maut dan berpuluh lagi hilang dipercayai telah mati di bawah timbunan runtuhan bangunan yang dibom oleh tentera Zionis.- Agensi