HAMILOTON, KANADA- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang cadangan Presiden AS Donald Trump, pada Isnin untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza.
“Kami menentang sebarang rancangan yang membawa kepada pemindahan paksa penduduk, atau sebarang bentuk pembersihan etnik,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric semasa sidang akhbar.
Sabtu lalu, Trump mencadangkan untuk “membersihkan sepenuhnya” Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan, dengan menggambarkan wilayah itu sebagai “tapak runtuhan” selepas perang genosida Israel.
Dujarric mengingatkan bahawa Mesir, Jordan, dan Liga Arab turut menentang cadangan Trump itu.
Mesir, Jordan, Liga Arab, dan Pertubuhan Kerjasama Islam telah mengeluarkan kenyataan yang menolak keras sebarang seruan untuk pemindahan atau penempatan semula rakyat Palestin dari tanah mereka.
Situasi di Tebing Barat
Menjawab soalan Anadolu mengenai kemungkinan Tebing Barat yang dijajah Israel menjadi “Gaza baharu” berikutan peningkatan serangan tentera Israel, Dujarric berkata: “Kami sangat bimbang tentang situasi yang semakin buruk di Tebing Barat.”
Beliau mengkritik keras “aktiviti ganas yang tidak terkawal oleh penjajah Israel terhadap penduduk awam Palestin di Tebing Barat.”
Dujarric turut menggesa semua pihak supaya tidak “hilang fokus terhadap kawasan lain” meskipun Gaza menjadi tumpuan utama semua pihak.
Mengenai situasi terkini di Tebing Barat yang diduduki, Dujarric menyampaikan amaran Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) tentang keadaan yang semakin merosot di Jenin dan kem pelariannya, “ketika operasi berterusan oleh tentera Israel memasuki hari ketujuh, menyebabkan lebih banyak korban dan kemusnahan jalan raya serta infrastruktur.”
Beliau mengingatkan tentang pembunuhan seorang kanak-kanak kecil oleh Israel pada hujung minggu lalu dan berkata: “Sejak operasi di Jenin bermula pada 21 Januari, sebanyak 16 kematian telah dilaporkan.”
“Sementara itu, hari ini, di kem pelarian Tulkarm, serangan udara dilaporkan telah membunuh dua rakyat Palestin, meningkatkan kebimbangan terhadap penggunaan kekerasan yang melebihi standard penguatkuasaan undang-undang,” katanya, sambil menambah bahawa “hospital bukanlah sasaran dan perlu dilindungi pada setiap masa” ketika Israel mengepung Hospital Kerajaan Tulkarm.
Ketegangan semakin memuncak di seluruh Tebing Barat yang diduduki akibat perang Israel di Gaza, di mana lebih 47,300 orang terbunuh dan 111,500 lagi cedera sejak 7 Oktober 2023.
Sekurang-kurangnya 880 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 6,700 cedera oleh tentera Israel di wilayah yang diduduki itu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari, menghentikan sementara perang genosida Israel di wilayah tersebut.
Pada bulan Julai, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan bahawa pendudukan lama Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah, menyeru pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.- AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast