Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket pecah rumah melibatkan warga Amerika Latin dengan nilai kerugian sebanyak RM 1,918,000 ketika di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Sehingga pagi tadi, sebanyak 75 laporan polis dibuat berhubung gerakan gerakan Langkah Dubai yang didakwa bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berdasarkan data sehingga 7 pagi tadi, sebanyak 31 laporan polis dibuat oleh wakil parti politik manakala selebihnya adalah orang awam.

“Seramai 31 daripada wakil parti politik  dan 44 orang awam,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media semalam berkata, sebanyak 43 laporan polis diterimanya berkenaan perkara yang sama.

Menurutnya, laporan polis yang dibuat berdasarkan penularan rakaman video tiga hingga empat orang berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Beliau turut mengesahkan pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan.- MalaysiaGazette