KUALA LUMPUR – Taktik tiga individu yang menjadikan sebuah kondominium di ibu negara sebagai tempat pembungkusan dadah untuk pasaran Hong Kong terbongkar selepas ‘port’ mereka diserbu pihak berkuasa pada 5 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, kedua-dua individu terbabit yang merupakan dua lelaki warga tempatan dan Hong Kong bersama seorang wanita Mongolia diketahui hasil perkongsian maklumat dengan polis Hong Kong.
Katanya, kesemua ahli sindiket yang ditahan berusia 25 hingga 48 tahun.
“Hasil serbuan yang dilancarkan kita menemui serbuk kimi untuk digunakan bagi memproses dadah seberat 74.03 kilogram (kg), heroin tulen 7.41 kg (untuk pasaran Malaysia) dan heroin tulen 3.5 kg (pasaran Hong Kong).
“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM7.89 juta bagi pasaran Malaysia manakala untuk pasaran Hong Kong bernilai HKD$ 13.26 juta.
“Turut dirampas dalam serbuan ini pelbagai peralatan untuk pembungkusan semula dadah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, suspek turut menggunakan patung-patung untuk menyembunyikan dadah tersebut dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Tambahnya, saringan awal terhadap suspek mendapati, wanita warga Mongolia itu positif dadah jenis methapetamine dan amphetamine, manakala rekod suspek lelaki warga tempatan bersabit kes jenayah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, kesemua suspek di siasat di bawah Sksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Januari bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket untuk di bawa kemuka pengadilan.
“JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaju di sekeliling mereka.
“Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – MalaysiaGazette