KUANTAN – Seorang lelaki warga emas direman seminggu selepas ditangkap ketika membawa plastik oren yang didakwa mengandungi dadah seberat 2.265 kilogram di Bentong pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan ketika polis membuat pemeriksaan terhadap suspek dalam mencurigakan di Taman Anggerik Height pada 11 malam pada 5 Januari lalu.
Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Januari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Hasil pemeriksaan terhadap suspek didapati plastik tersebut mengandungi tiga bungkusan.
“Satu bungkusan mengandungi serbuk heroin seberat 1.365 kg, dan dua lagi bungkusan seberat 0.45 kg setiap satu. Jumlah berat dadah yang dijumpai dianggarkan 2.265 kilogram bernilai RM25,000.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morphine,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis bagi mengetahui punca suspek memperoleh bekalan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette