MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini menganjurkan program personaliti yang menekankan keyakinan diri, kredibiliti tinggi dan penampilan menarik bagi melengkapkan mahasiswi teknikalnya dengan pembangunan imej diri.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, program yang dikenali sebagai Glam Touch: “Make Me Beautiful” itu merupakan anjuran Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa/i (JAKSIS) Satria (Lekiu), UTeM.
Menurutnya, seramai 100 peserta yang terdiri daripada mahasiswi UTeM dan sebilangan kecil orang luar sekitar Melaka menyertai program tersebut.
“Program bersama Perunding Kecantikan, Ismaliza Ismail telah memberi pendedahan kepada mahasiswi UTeM tentang teknik solekan yang betul bagi kecantikan wajah seseorang individu serta asas penjagaan kulit wajah selepas mengenakan solekan.
“Program ini merupakan platform menarik yang memanfaatkan mahasiswi UTeM yang menyertainya dengan membantu mereka mengasah kemahiran dan bakat dalam menata rias solekan wajah.
“Ia menjadi panduan agar mahasiswi teknikal UTeM terus berketrampilan menarik dan turut menjadikan mereka sebagai profesional teknikal yang memiliki personaliti memikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, program tersebut menyuntik motivasi serta meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan para peserta UTeM apabila mereka berhadapan dengan orang ramai.
Katanya, program pembangunan imej diri itu juga menjadi sebahagian daripada elemen yang melengkapkan mahasiswi UTeM berteraskan kepada TUAH iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik.
Beliau berkata, program yang julungkali dianjurkan itu membawa sentuhan tersendiri dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar university tersebut. – MalaysiaGazette