Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beramah mesra bersama tetamu yang hadir selepas Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menerima sebarang makluman berkenaan cadangan penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Muadzam Shah Rompin, Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. kadir berkata, pihaknya telah membuat semakan mengenai isu itu namun masih belum menerima maklum balas berkenaan penutupan kampus berkenaan.

“Tidak ada berita itu disampaikan kepada saya walaupun ada mendengar mengenai perkara itu (penutupan Uniten).

“Pegawai kanan saya telah buat semakan dan setakat ini saya masih belum menerima sebarang keputusan berkenaan penutupan Uniten seperti yang diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Landasan Hala Tuju KPT di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir pada Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2024.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dua hari lalu.

“Penutupan pengoperasian Uniten tersebut akan memberi implikasi yang tidak baik kepada rakyat terutama berkaitan kelangsungan pengajian anak-anak muda dan peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi penduduk setempat,” katanya

Mengulas lanjut, Zambry menambah, pihaknya turut meminta Ketua Pengarah Pengajian Tinggi (KPPT), Prof Dr. Azlinda Azman untuk memeriksa kesahihan perkara itu.

“Beliau mengesahkan tidak menerima sebarang makluman rasmi dari pihak Uniten berhubung penutupan kampus itu,”katanya. – MalaysiaGazette