JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lebih 10.1 kilogram (kg) di tepi jalan di sebuah taman di Kluang bulan lalu.
Yean Wei Zhen, 34, mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis serbuk 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 9,909.70 gram.
Perbuatan itu dilakukan pada 23 April lalu, pasa pukul 2.45 petang di tepi jalan Taman Mengkibol di Kluang.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dikenakan hukuman mati, disebat tidak kurang daripada 12 kali.
Dalam prosiding Mahkamah sama, Yean Wei turut berdepan dua lagi pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis ketamin seberat 185.80 gram dan nimetazepam seberat 78.30 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. – MalaysiaGazetet
















